بسم الله الرحمن الرحيم
Belajar dan terus belajar. Menggali hikmah disebalik ujian.
Menggali penawar disebalik gelombang amarah. Menggali kebaikan dalam kebaikan
dan keburukan. Proses belajar takkan berhenti selagi hayat dikandung badan.
Belajar dan terus belajar bergantung harap sepenuhnya pada Sang Pencipta. Dalam
proses belajar, selalu diuji sejauh mana benteng ketahanan dan ketabahan menghadapi
kesulitan proses pembelajaran. Terkadang ikhlas tersasar dari landasan, redha
masih ditemani air mata tangisan, sabar bermain desakan dan suara sumbang
amarah.
Harus kuat dan cekal hati dalam proses belajar yang tidak
pernah sudah. Belajar daripada kehidupan yang takkan surut ditelan zaman takkan
hilang dibawa arus kehidupan. Pergantungan penuh pada Sang Pencipta menjadi
kunci kejayaan proses pembelajaran. Ya Rabb, bagaimana harus dititipkan rasa
pergantungan itu? Selalu tewas dan kalah dalam gelombang ujian yang sedia ada.
Tangisan hati menjadi permainan tatkala kerdilnya diri menghadapi ujian.
Sungguh, apa yang Kau hadirkan bukan suatu yang sia-sia. Bagaimana harus
dirasakan sekeping hati yang bertautnya hanya pada tuhan pemilik segala rasa?
Hati kecil sering menangis mengenangkan apa yang telah dilakukan
sepanjang hayat ini. Terkadang tak
sanggup meneruskan kehidupan dengan ujian yang mendatang. Rasa penat dan lelah.
Ya Rabb, apalah sangat ujian yang Kau datangkan ini sedangkan ramai lagi mereka
yang lebih berat ujiannya. Bak kata adik, bentuk ujian itu bermacam-macam. Ada
orang Allah uji dengan ujian sakit, ujian gangguan makhluk halus, ujian
kemiskinan, ujian pelajaran, ujian perang, ujian hati. Ya… Ujian yang hadir
tidaklah seberat mana andai pandai meredakan dan mengawal diri serta emosi.
Allah kan ada. Selalu harap Allah ajarkan pergantungan penuh pada-Nya. Bila
difikirkan semula, inilah caranya Allah mengajar. Dia hadirkan ujian yang tidak
pernah padam. Selepas satu, satu pula mendatang. Dalam proses ujian inilah
Allah mengajar diri bergantung harap penuh pada-Nya. Lalui saja ujian dan
tunggu apa yang berlaku tanpa memikirkannya terlalu rumit yang penting doa
selalu dan istikharah jangan tinggal, pesan seorang sahabat.
Terkadang, terfikir dan melihat diri. Rasa malu dengan
penampilan diri yang tidak sama dengan peribadi. Walau bukan sepenuhnya, rasa
malu tetap terasa. Malu pada Allah, diri sendiri dan mereka yang dikenali baik
akhlaknya. Banyak yang harus dipelajari daripada mereka yang mesra dengan ilmu
agama. Menjadikan hidup kerana Allah. Bukan hanya memenuhi fitrah sebagai
manusia semata-mata. Semoga proses pembelajaran yang Allah ajarkan bisa
menjadikan diri kuat dan tabah serta tenang menghadapi apa jua rintangan
kehidupan mendatang.
Put your trust in Allah!