topbella
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan

Ahad, 4 Mac 2012

Jangan Biarkan Ia Pergi Semakin Jauh.... =(

بسم الله الرحمن الرحيم

Melayari kehidupan sehari-hari, diri semakin lesu tak bermaya. Kekuatan semakin hilang dan semakin jauh. Sampai bila harus begini? Ketenangan semakin sukar digapai malah semakin pergi. Arghhhhh…… Seksanya hidup begini. Mahu saja tak nak hidup lagi (bisikan syaitan mula mengetuk hati).

Astaghfirullah…. Khilafnya aku ya Rabb… Kenapa sampai terdetik begitu sekali. Hati kecilnya berbicara. Hampir berbulan-bulan keadaanya begitu. Cuma sekali-sekala ketenangan hinggap di tangkai hati saat diri menangis di tikar solat. Namun, untuk dapatkan kembali saat itu amat sukar sekali.

Membuka buku catatan peribadi, membelek satu persatu helaian kertas, mata menangkap satu catatan penuh bermakna.

23 Mac 2007 (12:15 am)

Hari ini, aku rasa semakin sesak dan sukar setiap langkah yang ku atur. Semua benda yang aku buat semuanya tak menjadi. Belajar pun tak dapat nak fokus. Hati rasa nak menangis je. Alhamdulillah… Mujur ada abah, selepas solat isyak tadi sempat menelefon abah. Kata- kata abah menjadi penguat hati pendamai jiwa. Abah pesan, Kak Long jangan tinggal solat hajat setiap kali selepas solat maghrib. Doa pada Allah agar permudahkan segala urusan Kak Long. Berikan Kak Long ketenangan hati dan jiwa. Minta pada Allah agar memimpin Kak Long dalam setiap langkah Kak Long supaya Kak Long tak tersasar daripada rahmatNya. 

Abah pesan lagi, Kak Long asyik cakap susah, susah dan susah. Hati tak tenang je. Tapi ada Kak Long cuba buat apa yang abah cakap tadi? Abah pesan, Kak Long… Ketenangan takkan datang kalau kita tak berusaha untuk mencarinya. Macam masalah, kalau kita tak cuba selesaikannya, masalah tu takkan selesai. Kalau hari pertama ketenangan tu tak datang dalam diri Kak Long, jangan putus asa… Teruskan berusaha dan istiqamah dengan amalan. 

Abah pesan lagi, Kak Long jangan lupa istighfar setiap hari. Kita sebagai manusia, pasti ada melakukan kesilapan yang kita sendiri tak sedar. Masa istighfar tu biar dengan hati supaya meresap dalam jiwa apa yang dilafazkan. Fahami apa yang dilafazkan. 

Lagi satu abah nak ingatkan Kak Long, rajin-rajinlah solat malam. Abah tahu, bukan senang nak bangun. Masa solat malam itulah masa kita dengan Allah. Waktu siang, kita sibuk dengan urusan dunia sedangkan apa yang kita miliki semuanya milik Allah. Nanti, sebelum Kak Long tidur, Kak Long doa pada Allah supaya kejutkan Kak Long untuk bangun malam dan kuatkan hati Kak Long untuk melakukan solat malam. 

Selepas menelefon abah, hatiku berasa tenang. Abah… Terima kasih atas nasihat. InsyaAllah, Kak Long cuba.  Bantu aku ya Allah! Demi mendapatkan redhaMu…

Buku catatan peribadi ditutup. Ditekapkan ke dada. Benar kata abah... Sejak akhir-akhir ini, aku terlalu sibuk dengan persatuan, kelab, assignment dan beberapa komitmen lain hingga terlupa pesanan abah. Memanglah hidup aku tak tenang. Luaran nampak ok tapi dalaman… MasyaAllah... Deritanya. Tahun ini, genap 3 tahun pemergian abah. Ya Allah, sungguh berharga pesanan abah.. Semoga roh abah tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.. Amiin. 



Abah... Rasakan dihatimu secebis kasihku.. Yang kian merinduimu biar kau tiada dimata ku.. Asal kau bersama Penciptaku juga Penciptamu.. Yang menjanjikan pertemuanku denganmu.. Di syurga milik yang Satu.



Khamis, 11 Ogos 2011

500 Tahun Beribadat Tetapi Masuk Neraka

بسم الله الرحمن الرحيم

Apa yang terlintas di fikiran sahabat semua saat membaca tajuk entri kali ini? Takut tak apabila amal ibadat kita selama hayat di dunia ini neraka pengakhirannya? Saat terbaca tajuk risalah yang saya temui ini, terdetik di kotak fikiran apa penyebab amal ibadat selama 500 tahun orang ini neraka pengakhirannya. Nak tahu kenapa? Jom, baca kisah di bawah ini

Rasulullah S.A.W berkata: Malaikat Jibril telah menceritakan kepadanya, “Wahai Muhammad! Telah ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang panjang dan lebar bukit itu 30x30 hasta dan di sekelilingnya terdapat lautan saujana mata memandang. Di situ Allah telah mengeluarkan air selebar satu jari dari bawah bukit serta menumbuhkan sepohon pokok delima yang mana setiap hari pohon itu akan mengeluarkan sebiji buah yang masak. Apabila terasa lapar, hamba ini akan memetiknya selepas itu dia terus menyambung ibadahnya.

Setiap kali solat, hamba ini akan memohon agar ia dimatikan dalam keadaan sujud supaya badannya tidak disentuh apa-apa pun sehingga tibanya hari kiamat. Allah Ta’ala pun memperkenankan doanya. Apabila hamba ini mati, Allah Ta’ala pun memerintahkan kepada malaikat, “Masukkan hamba ini ke dalam syurgaKu dengan limpah rahmatKu” jawab hamba ini, “Bukan segalanya disebabkan amalanku.” Maka Allah Ta’ala pun memerintahkan para malaikat menghitung segala amalannya. Apabila perhitungan dibuat maka amalnya selama 500 tahun itu telah habis dikira hanya pada sebelah mata sahaja. Allah Ta’ala pun berfirman, “Masukkan dia ke dalam neraka.” Maka gementarlah hamba ini lalu berkata, “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurgaMu dengan rahmatMu.”

Kemudian Allah Ta’ala bertanya lagi, “Siapakah yang menjadikan kamu yang memberi kekuatan sehingga kamu mampu beribadat selama 500 tahun? Siapakah yang mengeluarkan air di tengah-tengah lautan yang masin dan mengeluarkan buah delima untuk kamu makan setiap hari sedangkan buah itu berbuah setahun sekali? Jawab hamba ini, “Engkaulah yang melakukannya ya Allah.” Firman Allah Ta’ala lagi, “Semua adalah dengan rahmatKu dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurgaKu juga dengan rahmatKu.” Malaikat Jibril berkata,” Segala yang terjadi hanya dengan rahmat Allah. Wallahu’alam.



Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu dan mentaatiMu…ameen.


Ahad, 17 Julai 2011

Wanita Ibarat Pohon Semalu?

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini, saya ingin mencoretkan sebuah kisah mengenai wanita dan pohon semalu. Sedang sibuk mengemas fail adik, terjumpa artikel ini. Pohon semalu yang tumbuh di tepi jalan atau di mana saja sebenarnya mempunyai maksud yang boleh dikaitkan dengan wanita. Subhanallah, Maha Suci Allah setiap apa yang diciptakanNya bukan sesuatu yang sia-sia pasti ada hikmah yang perlu kita rungkai selaku makhlukNya yang dikurniakan akal fikiran. Teringat firman Allah di dalam surah Al-Imran ayat 191 yang bermaksud “orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.” Ok, jom kita hayati kisah ini!
Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah R.A. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.
Fatimah menyatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah S.A.W dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah S.A.W menyambung kata-katanya lagi.
Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek. Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya). Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan durinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslimah. Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin. Akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.




Kesopanan dan kemuliaan seorang wanita itu dilihat sejauh mana sifat malu menghiasi dirinya, malu pada tempat sepatutnya, maruah terjaga, diri terpelihara. Malu itu indah, malu itu fitrah.


Khamis, 23 Jun 2011

Hikmah Disebalik Itu

بسم الله الرحمن الرحيم

Sinar mentari memancar seri, pagi itu terasa nyaman sekali. Sekawan burung menyanyi keriangan dan bersahut-sahutan. Panorama yang menghijau menjadikan udara segar penuh ketenangan. Subhanallah, Maha Suci Allah. Kelihatan dua beradik sedang rancak berbual berkongsi rasa duduk bersama di bawah sepohon pokok yang rendang. Sangat mendamaikan.

Adik: Akak, kadangkan adik rasa malas la nak baik dengan kawan adik tu.

Akak: Kenapa? Adik kan rapat dengan dia.

Adik: Bukan apa akak. Adik tak suka la sikap dia tu. Cakap orang, tapi dia pun sama. Cakap tak serupa bikin. Lepas tu, kalau adik susah dia lari. Masa senang je bersama dengan adik. Kadang kalau ada apa-apa, adik rasa malas nak tolong. Tapi, adik tak boleh tengok kawan susah mesti nak tolong. Itulah kelemahan adik. 

Akak: Owh, patut la adik kesayangan akak ni beremosi sangat (sambil memaut erat bahu adiknya itu). Adik rasa, itu satu kelemahan ke? Bagi akak tak, itu adalah satu kelebihan yang Allah berikan pada adik. Menolong orang yang memerlukan pertolongan, Allah sayang tau. Ada orang dia nak buat kebaikan tapi masih lagi teragak-agak sama ada nak tolong atau tidak. Hati mulia la adik akak ni, nampak orang susah je nak tolong. Tak teragak-agak pun.

Adik: Adik bukan apa akak, adik cuma nak dia hargailah sikit apa yang adik buat. Kalau adik susah dia buat tak tahu je. Hati adik pun dia tak jaga. Adik je nak jaga hati dia. Kadangkan akak, adik pernah terfikir tau kalau tak ada kawan pun tak apa daripada dapat kawan macam dia. Jahatkan adik ni.

Akak: Apalah adik ni (sambil ketawa lucu mendengar kata adiknya tadi). Kalau fikir logik memang pun macam tu. Tak perlu kawan. Orang kata apa? Buat baik berpada-pada nanti kena pijak kepala. Lagi satu apa? Buat baik biar la pada tempatnya. Tapikan adik, (kembali tenang) ingat tak ayah pernah cakap dulu, janganlah la balas apa yang orang buat pada kita sebaliknya lebih elok dan mulianya jika kita berdoa pada Allah agar dia berubah menjadi baik akhlaknya. Salah satu doa yang dimakbulkan Allah ialah doa orang yang teraniaya. Tapi akak tahu, bukan mudahkan? Sekurang-kurangnya kita berusaha ke arah itu.

Adik: Emm…betul cakap akak tapi adik macam tak mampu je.

Akak: Belum cuba lagi dah cakap tak mampu? Adik akak ni biar betul? (kehairanan) Bagi akak ini merupakan tarbiah daripada Allah untuk adik. Ikhlas sifat muliakan? Di sinilah Allah menguji keikhlasan adik dengan mendatangkan ujian kawan yang bersikap sedemikian. 

Adik: Betul juga cakap akak tu….

Akak: Cuba adik bayangkan, kalau adik tak tolong kawan adik, bermusuhan dengan dia. Adik tahu siapa paling gembira dan mengadakan pesta kejayaan?

Adik: Tak tahu. Ada ke orang buat pesta kejayaan bila bermusuhan?

Akak: Mesti la ada. Musuh utama manusia siapa lagi kalau bukan syaitan. Betuk tak? Hahaha mesti adik lupa ni. Syaitan berkata dalam surah Al-Hijr ayat 39 yang bermaksud ia berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan(kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” 

Adik: Apa kaitannya dengan kisah adik?

Akak: Kaitannya macam ni, memanglah kita tak buat kejahatan yang nampak macam minum arak, mengumpat, pukul orang, tapi kitakan perlu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia. Bila adik dah tak nak berbaik dengan kawan adik tu makanya, adik telah kalah dengan syaitan yang menghasut adik secara halus. Betul tak? Ke akak silap?

Adik: Akak betul.. Terima kasih kak ingatkan adik.

Akak: Sama-sama. Ini peringatan untuk diri akak juga. Kita sama-sama muhasabah diri. Ok? Sambil tersenyum memandang adiknya.

Adik: Ok! Sayang akak!

Akak: Sayang adik juga!

Kebahagiaan dan kegembiraan terpancar di wajah kedua beradik itu. Saat cuti semester inilah digunakan sebaiknya oleh mereka berkongsi rasa dan mengeratkan ukhwah yang terjalin sejak azali lagi. 





Indahnya hidup ini andai semuanya kerana Allah.




Rayuan Nurani



بسم الله الرحمن الرحيم

Di luar sana, hujan turun renyai-renyai. Jam dinding menunjukkan pukul 11:30 malam. Seorang gadis leka bermain bersama laptop kesayangannya menaip dan menerokai lautan ilmu di alam maya. Jiwanya tersentuh tatkala mendengar sebuah lagu yang begitu mengusik jiwa. Sangat tersentuh. Saat itu juga, hatinya benar-benar menangis menghayati setiap bait lirik lagu yang tidak pernah didengarnya sebelum ini. “Rayuan Nurani” dendangan kumpulan nasyid Saff One kedengaran di corong radio. 

Di antara kudrat Tuhan
Dia mencipta mnusia
Sebagai khalifah mentadbir bumi ini
Juga sebagai hamba nan berbakti dan berbudi
Ingatlah Tuhan yang Maha Kuasa

Ombak yang menderu

Dedaun berterbangan
Terkadang mengkhayalkan diriku
Terlupa aku pada pencipta yang Esa
Yang sentiasa melihat diriku

Di mana... Di mana berada

Di mana... Oh di manakah diriku

Adakah di jalan lurus atau dijalan yang berliku

Oh Tuhan tunjukkan ku jalan kebenaran
Ku tahu jalan bahagia
Penuh onak jua cabaran
Oh Tuhan beri kekuatan pada ku

Demi mendapat keredhaan dari Mu

Sanggup ku tempuhi ranjau yang penuh berliku
Dengan rahmat Mu ya Tuhan
Selamatkanlah diriku
Dari seksaan api neraka Mu


Malam itu, terbit satu kekuatan yang tidak pernah hadir sebelum ini. Malam itu, dia bangun menyembah Tuhan yang satu merayu dan memunajat mengemis kasih Sang Khalik. Pada Mu ya Rabbi, kehidupanku, ku serahkan.


 


Ya Allah, pimpinlah kami menuju cinta dan redhaMu…ameen.







Rabu, 6 April 2011

Kematian itu Pasti

بسم الله الرحمن الرحيم

انا لله وانا اليه رجعون
Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un

Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali


Jam di atas meja menunjukkan pukul 12:30 pagi. Zainab masih lagi leka menyiapkan assignment yang diterimanya 2 hari lalu. Ting..satu mesej masuk. Zainab membuka mesej yang baru diterima. Tertera nama Irah. Sahabat yang baru dikenalinya 4 bulan lalu.

“Selamat malam Zainab.” Hanya ungkapan itu yang diterima.

Dengan senyuman, Zainab menaip mesej.

“Selamat malam ya ukhti Irah.”

Zainab menyambung semula membuat assignment. 30 minit berlalu. Ting..satu mesej masuk, tertera nama Irah. Mesej dibuka.

“Zainab sibuk?”

“Takda la sibuk sangat cuma buat assignment sikit. Kenapa Irah?”
“Takda apa-apa. Tanya je.”

“Betul ni takda apa-apa? Irah macam nak cakap sesuatu je.”

“Zainab, Irah cuma terfikir kalau Allah ambil nyawa Irah sekarang…”

“Irah, bila kita berada dalam zikrullah, InsyaAllah hati akan tenang, dan mengingati mati adalah salah satu zikrul maut. Tenanglah dalam rahmat Ilahi sahabatku.”

“InsyaAllah. Zainab, doakan Irah ya sempat melaksanakan apa yang Irah nak buat.”

“InsyaAllah, Irah boleh. Tenang-tenang ya.”

“InsyaAllah, doakan. Maaf ya, ganggu Zainab malam-malam ni. Irah tak tahu nak cakap pada siapa. Memang, dilihat dari luaran Irah nampak gembira, ceria, tiada masalah tapi hakikatnya Irah rasa sedih. Rasa macam nak menangis je tapi tak terluah. Irah rasa kosong. Irah rasa macam apa sebenarnya yang Irah perlukan dalam hidup Irah. Rasa sayu je.”

“Syukur Alhamdulillah. Allah titipkan rasa sedemikian pada Irah. Itu tandanya Allah sayangkan Irah. Allah nak Irah sentiasa dekat denganNya. Irah beruntung, tak semua orang dapat rasa apa yang Irah rasa. Allah tak biarkan Irah terus hanyut dengan dunia Irah. Ingat Irah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

“Terima kasih Zainab. Alhamdulillah, Allah pertemukan Irah dengan Zainab.”

“Irah sahabat Zainab. Allah telah pertemukan kita. Mana yang elok kita sama-sama amalkan dan saling mengingatkan. Manusia itu sifatnya sering berubah. Harus diingatkan demi redhaNya.”

“InsyaAllah. Zainab, Irah minta diri dulu ya. Jaga diri baik-baik. Doakan Irah. Assalamualaikum.”

“InsyaAllah, Irah pun jaga diri juga. Kita sama-sama berdoa untuk satu sama lain. Waalaikumussalam.”

Perlahan-lahan handphone Sony Ericsson C510 diletakkan semula di atas meja. “Semoga Allah melindungi dan merahmati kehidupanmu sahabatku,” Doa Zainab di dalam hati.



“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti karatnya besi. Sahabat-sahabat bertanya: Apakah pengilapnya wahai Rasulullah?
Rasulullah menerangkan: membaca al-Quran dan mengingati maut (mati)”
( HR al-Baihaqi)









Kematian itu pasti. Setiap detik kehidupan menuju kematian.




Kehidupan Dunia Nikmat Sementara


 بسم الله الرحمن الرحيم 

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya tanaman-tanaman bumi kerana air itu, diantaranya ada yang dimakan oleh manusia dan binatang ternakan. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya (maksudnya: bumi yang indah dengan gunung-gunung dan lembah-lembahnya telah menghijau dengan tanam-tanamannya), dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya (dapat menuai hasilnya), tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami pada waktu siang atau malam, lalu kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah dituai (musnah sama sekali), seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang yang berfikir.” (Surah Yunus 10:24)

Demikianlah Allah mengumpamakan kehidupan dunia ini seperti  musim menuai yang hampir tiba namun musnah akibat bencana hinggakan seolah-olah tidak pernah tumbuh apa-apa semalam. Itulah hakikat dunia. Dalam sekelip mata keindahan dunia boleh lenyap dan berakhir. Apakah kita masih mahu mengharapkan nikmat sementara berbanding nikmat yang kekal abadi?

                                      suka pemandangan ini! ^_^
Daisypath Friendship tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Foto Saya
Lukluk Sofea
Johor, Malaysia
Salam Ukhwah ^_^ Semoga perkongsian ini bermanfaat... =)
Lihat profil lengkap saya