topbella
Memaparkan catatan dengan label Sahabat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sahabat. Papar semua catatan

Isnin, 30 Julai 2012

Bolehkah?

بسم الله الرحمن الرحيم

Kawan, apa itu setia?
Usah diungkap andai tingkah tidak sama dengan kata-kata…
Lidah kata sanggup tetapi tingkah berlaku sebaliknya…
Bagaimana harus percaya?
Usah bermanis kata andai tingkah tidak mampu membuktikan…
Tingkah yang dipamerkan mendatangkan percaya…
Andai tingkah tidak sama dengan apa yang dikata?
Bagaimana bisa dipupuk percaya?
Usah bermain kata-kata…
Kelak memakan diri…
Bukan setakat diri malah mereka yang lembut hatinya…
Berhati-hati dan sangat perlu berhati-hati…



Berhati-hati menutur kata andai tidak mampu membuktikan! =)

Khamis, 19 Julai 2012

Apa sebenarnya keadaan kamu?

بسم الله الرحمن الرحيم

Semalam sebelum Isyak, Nurul Iman menerima satu mesej daripada seorang sahabat. Mesej yang membawa seribu satu pertanyaan. Hampir seminggu Nurul Iman teringat seorang sahabat yang sama-sama belajar di IPT. Maaf sahabat, lewat membalas mesejmu beberapa hari lepas dan tidak perasan panggilan call yang masuk di handphone.

Ya, sejak berada di rumah, handphone sering ditinggalkan di dalam bilik hanya seketika saja melihatnya. Mahu menelefon kembali, waduh kekeringan kredit. Lama tidak topup. Al-maklum, tiada apa buat masa ini ingin memenuhkan kredit. Satu mesej diberi bertanya perkhabaran. Rupanya kamu tiada apa hanya saja je mahu berbicara. Asif sahabat, lewat membalas. Tapi, jauh di sudut hati Nurul Iman merasakan sesuatu yang tidak enak namun dipendam saja. Moga-moga tiada apa-apa. 2 hari berikutnya, Nurul Iman memberi mesej kata-kata buatmu sahabat tetapi tiada balasan. Ya, hanya mesej kata-kata. Tiada apa yang perlu di’reply’ hinggalah semalam, tergerak lagi memberi mesej kata-kata. Agak lewat kamu membalas. Tapi mesej yang kamu reply menimbulkan tanda tanya. Bila Nurul Iman reply semula dan menelefon, tiada jawapan. Sepi. Hingga Nurul Iman terlena menunggu.

Sahabat, kamu tidak sihatkah? Berada di mana sebenarnya? Adakah sama seperti cuti-cuti sebelum ini? Ya Allah, moga tidak. Setiap kali usai solat, Nurul Iman pasti titipkan doa buatmu sahabat. Moga tabah dan kuat. Walau tak bersua muka, doa Nurul Iman ada sentiasa mengiringimu sahabat. Yakinlah sahabat, hadirnya ujian pasti ada kemanisan pada akhirnya. Allah tak akan mensia-siakan kamu. Walau perit dirasakan, walau senyuman tak mampu diukir… Tabahlah, Allah sedang mengujimu, menguji keimananmu… Sebab itu adanya ujian agar dirimu sentiasa belajar bergantung harap sepenuhnya padaNya. Nurul Iman pun sedang belajar tentang ini. Allah itu dekat. Sentiasa dekat. Kita selaku hamba yang sering lalai yang DIA adalah dekat. Hingga saat ini, Nurul Iman masih menanti perkhabaranmu sahabat. 

Sahabat, kita sama-sama belajar. Belajar mengenal DIA. Belajar bergantung penuh pengharapan hanya padaNya. Belajar menjadi hamba Ilahi yang hatinya dipenuhi rasa cinta padaNya. Belajar menerima suratan takdir ketentuanNya. Belajar dan terus belajar menggali hikmah lahirnya kita di dunia.

Sahabat, maafkan Nurul Iman kerana masih tidak mampu menjadi sahabat yang baik buat dirimu sebagaimana baiknya dirimu pada Nurul Iman. Sahabat, moga semuanya baik-baik saja ya… Apa yang berlaku padamu saat ini (walaupun Nurul Iman tidak tahu keadaan kamu) yakinlah pada Allah dan percayalah DIA sebaik-baik tempat kembali atas apa yang berlaku. Kita sama-sama belajar tentang ini ya…



Apakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti yang dialami orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, digoncang (dengan pelbagai cubaan) sehingga Rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata,"bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. (surah al-Baqarah: 214)

Khamis, 8 Mac 2012

Buat Mereka Sahabat Maya Ku 。◕‿◕ღ


بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat,
Saat ini, diriku teringat kalian…
Wujud rasa rindu terhadap kalian…
Sekian lama menyepi, hati rindu ingin berbicara…
Sepi…
Bukan bermakna melupakan…
Tetapi ada tanggungjawab harus dilaksanakan…
Moga suatu hari nanti,
Kita bisa berbicara lagi…
Dalam ruang “ym” yang sentiasa menanti…
Rindu kalian… =(




Tiada ungkapan perpisahan dalam persahabatan, walaupun maut menjadi noktahnya… Kerana seorang sahabat itu terlalu istimewa dalam doa saudaranya biarpun tanpa bayangnya.

Rabu, 11 Januari 2012

Biar Sakit Asal Jujur

بسم الله الرحمن الرحيم

Biar sakit asal jujur...
Bila jujur kesakitan bisa diubati…
Bila diam, kesakitan bisa bertambah nanar…
Waktu itu, segalanya terlambat…
Tiada apa yang boleh diperbaiki…
Kerana hati telah mati…
Buat diri itu…
Maaf diberi...
Tidak mampu diungkap tapi telah terlakar…
Dalam ruang hati sepi…
Bukan kehendak diri…
 Tetapi hati yang tidak mampu mengharungi…




Tidak semua orang mampu mendengar sesuatu yang tidak diingini, tidak tahu lebih disukai berbanding hakikat yang terjadi. Tapi, dengan mengetahui itu lebih jelas lagi terang. Terima suratan dengan keyakinan hidup bertuhan.

Jumaat, 16 Disember 2011

•.♥.• Damaikan Hatimu, Sahabatku....

بسم الله الرحمن الرحيم

“Kamu kuat apabila dia tiada dan kamu lemah apabila dia ada”


Sahabat, damaikanlah hatimu dengan takdirNya. Usah bersedih terlalu lama. Hidup ini suatu perjuangan. Ujian itu warna kehidupan. Tanda kasihNya pada kita. Mana mungkin hadirnya ujian itu sia-sia tiada makna. 

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Ujian itu tarbiyyah. Bukan sia-sia. Menguji diri hamba padaNya. Rasa ujian itu pahit kerana keimanan itu manis. Ini suratan. Ini ketentuan. Ini takdir. Buat dirimu sahabatku. Menangislah, andai tangisan itu bisa mengubat, bisa merawat lara di hatimu. Moga selepas ini, tangisan itu tidak lagi menemani lakaran hidupmu. Allah sayangkan kamu. DIA merindui kamu. DIA mencintai kamu. DIA ingin kamu dekat denganNya. Selalu bersama DIA. Sahabat, inilah kehidupan. Diwarnai dan dipenuhi pelbagai corak dan warna. Kerenah manusia? Itu salah satunya. Fitrah semulajadi memang begitu. Kita? Ya, manusia… Perlu belajar, memahami, meneliti, dan mengambil pelajaran. Tidak sia-sia kan? 

Itulah pengalaman. Guru terbaik untuk kita melayari kehidupan sementara ini agar tidak tersungkur kali kedua. Mungkin kita lupa kehidupan ini sementara. Ya, sementara... Tidak kekal. Bakal lesap dan hilang. Moga ujian itu menjadi wasilah menyemai rasa cinta kepadaNya. Wasilah menyuburkan taman keimanan kepadaNya. DIA Sang Khaliq, tempat selayaknya kita kembali. Tempat selayaknya kita mencurahkan segala rasa. Pasti selepas itu, ketenangan bakal meresapi segenap jiwamu.

Damaikanlah hatimu dengan takdirNya, sahabatku. Kehidupan ini masih panjang. Masih wujud lagi hari-hari bahagia buat dirimu. Usah diingat sesuatu yang menyakiti hatimu. Biarkan ia pergi.. Pergi jauh dari hidupmu. Usah dikenang. Usah difikirkan. Takdir telah menentukan. Terima dengan keredhaan. Itu ketenangan. Moga bunga keceriaan dan pohon kebahagiaan menghiasi kehidupanmu bersama Cinta, Kasih serta Rahmat dariNya. Aku ada bersamamu selalu. InsyaAllah.





 "Persiapkanlah diri untuk menghadapi perkara yang paling kita tidak inginkan dalam kehidupan maka apabila perkara itu terjadi, diri akan selalu merasa baik."


Khamis, 15 Disember 2011

:: Tentang Kita ::

بسم الله الرحمن الرحيم


Dulu, segalanya mudah.
Segalanya indah.
Segalanya bahagia.
Tiada gundah.
Tiada gelisah.
Tiada duka.
Kini, segalanya berubah.
Ya, hanya kerana satu perkara.
Sesuatu yang tidak bisa diungkap.
Tidak bisa dilafaz.
Mungkinkah akan terlerai?
Maaf?
Apakah itu harus diungkap?
Bukan itu.
Kejujuran?
Ya, itu penyelesaian.
Itu kepastian.
Itu ketenangan.
Itu hakikat.
Hakikat?
Ya, hakikat.
Tentang kita.



Sayangku padamu seadanya dirimu, sahabatku. 

Ahad, 23 Oktober 2011

•.♥.• Ukhwah Kita •.♥.•

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam ukhwah dan mahabbah saya layangkan istimewa buat sahabat yang sudi berkunjung di taman hati ini (◠‿◠)

Tiada apa yang ingin dicoretkan sekadar mengisi hasrat hati menaip di lappy comel dan cute ini. Seronokkan mempunyai sahabat yang berkongsi suka duka melengkapi kehidupan penuh warna-warni bak pelangi ini kan? ^_^  gelak tawa bersama berkongsi rasa semestinya.

Ukhwah itu indah andai disulami dengan benang kasih sayang dan seni keikhlasan demi Mardhatillah. Ukhwah itu tidak mengharapkan ganjaran atau bayaran kerana ia lahir dari hati ikhlas dalam memberi. Ukhwah itu bertambah indah andai diiringi cinta kepada Sang Kekasih Hati. Pemilik hati-hati di muka bumi ini. Sangat tertarik dan jatuh hati dengan hiwar antara Irfan dan Rasyid :

Rasyid: “Em, aku nak tanya. Kenapa kita perlu bangunkan persahabatan kita atas dasar keimanan?”

Irfan: “Sebab iman sahaja yang kita mahu bawa hingga ke akhirat. Rumah, harta akan hancur. Rupa paras akan hodoh. Kebaikan akan diuji. Keimanan kepada Allah, kita hendakkan redha Allah SWT. Redha Allah, kita akan kejar sampai mati, dan kita hendakkannya di akhirat nanti. Kita mahu, persahabatan kita ini, Allah kira sebagai ibadah.”

Rasyid: “Kalau macam itu, apa sebab pun persahabatan kita tak akan putus?”

Irfan: “Apa sebab pun. Hatta kalau kau terjun ke Neraka, aku akan terjun sama untuk menarik kau, naik semula dan berjalan beriringan denganku sampai ke Syurga.”

Rasyid: “Begitu?”

Irfan: “Begitulah.”

Rasyid: “Janji?”

Irfan: “Aku janji.”

Rasyid: “Maka kau, Irfan, sahabat aku atas keimanan ini. Jangan kau lepaskan aku.”

Irfan: “Maka kau, Asid (nama samaran Rasyid), sahabat aku atas keimanan ini. Aku takkan lepaskan kau, dan kau jangan lepaskan aku.”

Rasyid: “Walau apa pun terjadi.”

Irfan: “Walau apa pun yang terjadi.”

Indahkan ukhwah yang dibina atas dasar keimanan kepada Allah SWT. Semoga ukhwah yang terjalin sentiasa dalam bimbingan dan kasih sayang Allah..amiin

"Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal kecintaan, kasih-sayang dan belas kasihan sesama mereka, laksana satu tubuh. Apabila sakit satu anggota dari tubuh tersebut maka akan menjalarlah kesakitan itu pada semua anggota tubuh itu dengan menimbulkan insomnia (tidak boleh tidur) dan demam (panas dingin)." - HR. Muslim
                               
••.♥.•• Uhibbukum Fillah ••.♥.••





Syukran jazilan kepada Farah, Kak Yati, Siti dan Ain kerana menyayangi diriku. Kenangan bersama kalian tidak akan luput dalam kotak ingatanku sampai bila-bila. Semoga kita bertemu kembali dan bersahabat lagi di Taman Syurga..amiin.. Maaf, sering kali buat kalian risau tentang diriku tanpa disedari  T_T


Jumaat, 19 Ogos 2011

Usah Bersedih Lagi

بسم الله الرحمن الرحيم
 
Salam mujahadah buat sahabat yang disayangi fillah.. Sungguhku tahu tika ini dirimu dilanda badai kekecewaan.. Ya, bukan semua yang kita impikan bisa kita perolehi.. Namun ku tahu dirimu punya semangat melalui duka kekecewaan.. Masih kah dikau ingat? Katamu, walau apa jua takdir yang ditentukan.. Dirimu takkan kecundang bisa melayari kehidupan ini dengan ketabahan.. Katamu lagi, apa yang telah terjadi merupakan pengajaran pasti ada hikmah bakal terungkai andai bisa terima ketentuan dengan keredhaan.

Sungguhku kagum dengan semangatmu yang tak pernah padam walau beribu badai mendatang.. Katamu, jangan berhenti sehingga loceng terakhir berbunyi. Hingga saat ini, masih ku pegang erat kata-katamu itu. Kata-kata azimat menjadi penawar saat diri lemas dalam ujian malah hampir putus asa mungkin.. Terima kasih sahabat yang disayangi.

Bagaimana keadaanmu sekarang wahai sahabatku? Masih adakah lagi sisa badai kekecewaan dalam hatimu? Impian dan harapan yang diimpikan berakhir tanpa dirimu sedar ia datang menghampiri.. Loceng terakhir telah berbunyi dan langkahmu jua telah terhenti. Moga gunung ketabahan bisa mengubati dirimu seperti kata-katamu dulu.

Teringat pertemuan kita sebelum dirimu berangkat pergi..
Waktu itu, dirimu ceria sekali bercerita tentang impian dan harapan.. walaupun perkara itu masih di awangan. Moga hatimu cekal dan sentiasa tenang.

Sungguh, Allah sangat menyayangi dirimu. Kekecewaan yang bertandang padamu saat ini merupakan tarbiah daripada Allah bagi hambaNya yang terpilih. Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Allah juga ingin menggantikan yang lebih baik untukmu. Yakinlah! Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Sahabat yang kucintai fillah..
Dirimu tidak keseorangan dalam melayari ujian kehidupan..
Dirimu masih punyai Sang Khaliq yang amat memahami dirimu..
DIA tidak pernah meninggalkanmu walau sesaat..
Sentiasa bersama dalam lena dan jagamu..
Sentiasa memerhatikan dirimu siang dan malam..
DIA ada, sentiasa ada..

Moga sinar bahagia muncul kembali
menghiasi dirimu dalam cinta dan redha Ilahi...



Allah sangat memahami diri kita, DIA lah Sang Khaliq.. Siapa yang lebih memahami dan mengetahui kalau bukan yang mencipta seperti barangan umpamanya, hanya mereka yang mencipta mengetahui keadaan sebenar barangan yang dicipta.   



Isnin, 20 Jun 2011

Adab-adab Bersahabat


بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam kehidupan kita, sahabat merupakan orang yang paling rapat dan sentiasa bersama apatah lagi bagi mereka yang tinggal berjauhan daripada keluarga. Coretan kali ini, saya ingin berkongsi mengenai adab-adab bersahabat daripada buku “Bidayatul Hidayah” karangan Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali yang telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Sebelum itu, untuk pengetahuan sahabat semua “Bidayatul Hidayah” bermaksud Permulaan Jalan Hidayah. Ok, jom kita teruskan perkongsian ini!

Seorang sahabat mestilah menjaga adab-adab terhadap sahabatnya. Antara adab-adab itu ialah:

1)Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya. Jika tidak mampu berbuat demikian maka hendaklah ia memberikan kepada sahabatnya apa-apa yang lebih dari hajat dirinya.

2)Menolong sahabat dengan diri pada segala hajatnya dengan cara bersegera, sebelum sahabat itu meminta tolong.

3)Menyembunyikan rahsia sahabatnya.

4)Menutup keaiban sahabatnya.

5)Berdiam daripada menyampaikan perkataan orang lain yang mencela sahabat kita.

6)Menyampaikan segala perkataan orang lain yang memuji sahabat kita.

7)Mendengar dengan baik apabila sahabat bercakap dengan kita.

8)Meninggalkan perbalahan dengan sahabat.

9)Memanggil sahabat dengan nama yang disukainya.

10)Memuji sahabat akan kebaikannya.

11)Berterima kasih kepada sahabat atas kebaikannya.

12)Menegah orang lain daripada mengumpat sahabat kita seperti kita membela diri sendiri.

13)Memberi nasihat dengan cara yang lemah lembut dan bahasa yang halus apabila hendak menasihati sahabat kita.

14)Memaafkan segala kesilapan sahabat dan janganlah mencelanya.

15)Mendoakan sahabat ketika sahabat itu masih hidup atau telah meninggal dunia.

16)Mengekalkan ukhwah terhadap keluarga sahabat selepas kematian sahabat itu.

17)Jangan suka membebankan sahabat.

18)Menyatakan rasa kesukaan dengan segala yang menyukakan hati sahabat itu dan menyatakan kesusahan terhadap apa yang menyusahkan hati sahabat itu. (gembira dan sedih bersama, susah dan senang bersama)

19)Menyamakan antara hakikat kecintaan yang wujud di dalam hati dengan apa yang nampak di luar, maka dengan itu barulah kecintaan itu dianggap benar.

20)Memulakan memberi salam ketika bertemu dengan sahabat.

21)Meluaskan tempat duduk kepada sahabat ketika di dalam majlis dan hendaklah berpindah ke tempat lain jika tidak dapat berbuat demikian. (memberikan sahabat kita tempat duduk)

22)Hendaklah kita menghantar sahabat ke muka pintu apabila sahabat itu keluar dari rumah kita.

23)Hendaklah berdiam ketika sahabat sedang bercakap sehingga selesai percakapannya dan janganlah mencelah ketika sahabat itu sedang bercakap.
 
Sabda Rasulullah S.A.W: “Tidak bersahabat dua orang yang bersahabat kecuali yang lebih dicintai  di sisi Allah ialah orang yang lebih lemah lembut dengan sahabatnya.”

Mari kita renungkan kembali, bagaimanakah perlakuan atau adab kita sesama sahabat sepanjang terjalinnya ukhwah ini? Adakah kita telah melaksanakan yang sewajarnya terhadap sahabat kita? Sama-samalah kita bermuhasabah agar mampu menjadi seorang sahabat yang sebenar-benar sahabat. (peringatan untuk diriku yang sering melakukan kesilapan) Maafkan daku sahabat.



 
Terima kasih buat sahabat yang menyayangiku seadanya. Kalian sering mengingati diriku walau dalam keadaan yang “urgent” di saat daku tiada di tempat itu. Rindu kalian. Terima kasih ya Allah mengurniakan daku sahabat seperti mereka. Syukran jazilan buat dua orang sahabatku dari IPG yang memperkenalkan buku “Bidayatul Hidayah” kepadaku.


Selasa, 26 April 2011

Aku Menyayangimu

بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat,
Kita berbicara di alam maya,
Tanpa rupa tanpa kata,
Dalam medan tarbiahNya kita dipertemu,
Dan keranaNya jua kita bersatu,
Mengibar ikrar dan janji berpadu,
Semusim ikatan terpatri,
Keikhlasan dan kemesraan,
Yang terluhur menggamit kemanisan,
Yang sukar untuk ditafsirkan.

Dirimu sahabat,
Mencurah nasihat bermakna,
Sering mengingatkan pada Allah,
Menyerikan bicara indah dengan sirah Rasulullah,
Menghayati sorotan hadis berhikmah,
Diri terpana dek kelincahan madah berhemah,
Menggugah seribu persepsi,
Betapa pentingnya ukhwah fillah.

Masalah dan cabaran bertamu,
Menggoyah keluhuran budi,
Persis seseorang aku mencari jati diri,
Menangani mehnah dan tribulasi,
Dirimu tetap gah tidak tergugat,
Walau badai melanda,
Katamu Allah sentiasa bersama.

Semalam, kini dan selamanya,
Moga ukhwahkan mekar mewangi,
Seharum mawar di desa nan permai,
Seindah purnama mentari pagi,
Agar ukhwahkan terpatri,
Hanya buat mereka yang memahami.



Sesungguhnya seorang Muslim itu, apabila berjalan di jalan dakwah, ia tidak berjalan dengan hatinya sahaja, bahkan dibawa bersama hati saudaranya. Justeru itu, setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya, pasti akan terbias untuk  saudara seperjuangannya.  ( Mustafa Masyhur )

Selasa, 5 April 2011

Dari Sahabat Buat Sahabat ^_^

بسم الله الرحمن الرحيم
 
لا يوئمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
La yu’minu ahadukum hatta yuhibbu li akhihi ma yuhibbu li nafsihi


Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.



Pandanglah sahabatmu kerana 3 perkara iaitu kerana Allah, kerana ilmunya dan hubungannya dengan makhlukNya. Dan janganlah kamu pandang kerana 3 perkara iaitu kerana rupa, kerana harta dan kerana kuasa. Dan elakkan 3 perkara iaitu hasad, dengki dan tipu helah. Dan peliharalah 3 perkara iaitu niat, amal dan akhlak. 



Selamat bersahabat hingga ke Syurga! (Buat semua sahabat saya)


 
Berkata Saidina Ali: Selemah-lemah manusia ialah yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari. Semoga ukhwah dan kasih sayang antara kita sentiasa dalam bimbingan Allah Ta’ala. Ameen



Daisypath Friendship tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Foto Saya
Lukluk Sofea
Johor, Malaysia
Salam Ukhwah ^_^ Semoga perkongsian ini bermanfaat... =)
Lihat profil lengkap saya