topbella

Jumaat, 19 Ogos 2011

Usah Bersedih Lagi

بسم الله الرحمن الرحيم
 
Salam mujahadah buat sahabat yang disayangi fillah.. Sungguhku tahu tika ini dirimu dilanda badai kekecewaan.. Ya, bukan semua yang kita impikan bisa kita perolehi.. Namun ku tahu dirimu punya semangat melalui duka kekecewaan.. Masih kah dikau ingat? Katamu, walau apa jua takdir yang ditentukan.. Dirimu takkan kecundang bisa melayari kehidupan ini dengan ketabahan.. Katamu lagi, apa yang telah terjadi merupakan pengajaran pasti ada hikmah bakal terungkai andai bisa terima ketentuan dengan keredhaan.

Sungguhku kagum dengan semangatmu yang tak pernah padam walau beribu badai mendatang.. Katamu, jangan berhenti sehingga loceng terakhir berbunyi. Hingga saat ini, masih ku pegang erat kata-katamu itu. Kata-kata azimat menjadi penawar saat diri lemas dalam ujian malah hampir putus asa mungkin.. Terima kasih sahabat yang disayangi.

Bagaimana keadaanmu sekarang wahai sahabatku? Masih adakah lagi sisa badai kekecewaan dalam hatimu? Impian dan harapan yang diimpikan berakhir tanpa dirimu sedar ia datang menghampiri.. Loceng terakhir telah berbunyi dan langkahmu jua telah terhenti. Moga gunung ketabahan bisa mengubati dirimu seperti kata-katamu dulu.

Teringat pertemuan kita sebelum dirimu berangkat pergi..
Waktu itu, dirimu ceria sekali bercerita tentang impian dan harapan.. walaupun perkara itu masih di awangan. Moga hatimu cekal dan sentiasa tenang.

Sungguh, Allah sangat menyayangi dirimu. Kekecewaan yang bertandang padamu saat ini merupakan tarbiah daripada Allah bagi hambaNya yang terpilih. Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Allah juga ingin menggantikan yang lebih baik untukmu. Yakinlah! Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Sahabat yang kucintai fillah..
Dirimu tidak keseorangan dalam melayari ujian kehidupan..
Dirimu masih punyai Sang Khaliq yang amat memahami dirimu..
DIA tidak pernah meninggalkanmu walau sesaat..
Sentiasa bersama dalam lena dan jagamu..
Sentiasa memerhatikan dirimu siang dan malam..
DIA ada, sentiasa ada..

Moga sinar bahagia muncul kembali
menghiasi dirimu dalam cinta dan redha Ilahi...



Allah sangat memahami diri kita, DIA lah Sang Khaliq.. Siapa yang lebih memahami dan mengetahui kalau bukan yang mencipta seperti barangan umpamanya, hanya mereka yang mencipta mengetahui keadaan sebenar barangan yang dicipta.   



Khamis, 18 Ogos 2011

Atasi Tekanan Dengan Bercakap Pada Diri Sendiri

بسم الله الرحمن الرحيم
 
Pertemuan kali ini saya titipkan beberapa tip untuk menghadapi tekanan iaitu dengan cara anda berkomunikasi dengan diri anda sendiri. Bercakaplah dengan diri anda. Mulakan dengan...

1. Aku harus siap menghadapi hidup ini. Apa pun yang terjadi di dunia ini hanya sekali. Aku tidak boleh gagal dan sia-sia tanpa berguna. Tugasku adalah menyempurnakan niat dan ikhtiar. Segala yang terjadi aku serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui, yang terbaik bagiku. Aku harus sedar yang terbaik bagiku menurutku belum tentu yang terbaik menurut Allah s.w.t. Bahkan, mungkin aku menuruti keinginan dan harapanku sendiri. Pengetahuanku mengenai diriku atau apa pun amat terbatas sedangkan pengetahuan Allah menyelimuti segala-galanya. Dia tahu awal, akhir dan segala-galanya.Sekali lagi betapa pun aku amat menginginkan sesuatu, tetapi hatiku harusku persiapkan untuk menghadapi kenyataan yang tidak sesuai dengan harapanku. Kerana mungkin itulah yang terbaik bagiku.

2. Aku mesti reda dengan kenyataan yang terjadi. Bila sesuatu terjadi, inilah kenyataan dan episod hidup yang harus aku jalani. Aku harus menikmatinya dan tidak boleh larut dalam kekecewaan berterusan. Kecewa dan sakit hati tidak akan merubah segala-galanya selain membuatkan diriku sengsara. Hatiku mesti menerima kenyataan, namun tubuh serta fikiranku harus tetap bekerja keras mengatasi dan menyelesaikan masalah ini. Apabila nasi sudah menjadi bubur, aku harus mencari ayam, kacang, bawang goreng, dan sambal, agar bubur ayam istimewa tetap dapat aku nikmati.

3. Aku tidak boleh menyusahkan diri. Aku harus yakin hidup ini bagai siang dan malam pasti silih berganti. Tidak mungkin siang terus-menerus dan tidak mungkin juga malam terus-menerus. Pasti setiap kesenangan ada hujungnya. Begitu pun masalah yang menimpa pasti ada akhirnya. Aku sepatutnya sabar. Aku harus yakin setiap musibah terjadi dengan izin Allah Yang Maha Adil, pasti sudah diukur dengan sangat cermat oleh-Nya. Aku tidak boleh menzalimi diriku, dengan fikiran buruk yang menyusahkan diri. Fikiranku kenalah jernih, terkawal, tenang dan profesional. Aku harus berani menghadapi persoalan demi persoalan, tidak boleh lari dari kenyataan,kerana tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan sebaliknya hanya akan menambah masalah. Semua harus aku hadapi dengan baik. Aku tidak boleh menyerah kalah. Mesti segala sesuatu ada akhirnya, walaupun persoalan yang aku hadapi seberat mana sekalipun, seperti yang dijanjikan Allah: “Sesungguhnya bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan.” Janji yang tidak pernah dimungkiri Allah.

4. Evaluasi (menilai) diri. Segala yang terjadi mutlak adalah izin Allah dan Allah tidak berbuat sesuatu yang sia-sia. Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Sepahit manapun pasti ada kebaikan yang terkandung di dalamnya, apabila disingkap dengan sabar dan benar. Harus aku renungkan mengapa Allah mentakdirkan semua ini menimpaku. Boleh jadi peringatan atas dosaku, kelalaianku atau mungkin detik kenaikan kedudukanku di sisi Allah. Mungkin aku harus befikir untuk mencari kesalahan yang terjadi. Cuma yang penting kini aku mengetahui diriku sebenarnya dan aku bertekad sekuat tenaga untuk memperbaikinya. Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.

5. Allahlah satu-satunya penolongku. Aku harus yakin, walaupun bergabung seluruh manusia dan jin untuk menolongku, tidak mungkin terjadi apa pun tanpa izin-Nya. Hatiku harus bulat dan yakin hanya Allah yang dapat menolong dan memberi jalan keluar terbaik dari setiap urusan. Tidak ada yang mustahil bagi-Nya, kerana segala-galanya adalah milik-Nya dan sepenuhnya dalam kekuasaan-Nya. Tidak ada yang dapat menghalangku jika Dia akan menolong hamba-Nya. Dialah yang mengatur segala sebab datangnya Pertolongan-Nya. Oleh kerana itu, aku harus berjuang dan berikhtiar untuk mendekati-Nya dengan mengamalkan segala yang disukai-Nya dan melepaskan hati dari kebergantungan kepada selain-Nya, kerana selain Dia hanya sekadar makhluk yang tidak berdaya tanpa kekuatan dari-Nya. Ingatlah selalu janji-Nya: “Sesiapa yang bertaqwa kepada-Ku, nescaya Ku beri jalan keluar dari setiap urusannya dan Ku beri rezeki (pertolongan) dari tempat yang tidak terduga. Dan sesiapa yang bertawakal kepada-Ku, nescaya akan Ku cukupi segala keperluannya.” 




Hidup penuh dengan cabaran. Ramai yang kecundang dan tidak kurang pula melihat dunia dengan wajah suram, kelam dan serab berjerebu. Hidup tidak bermaya dan penuh sedih seakan tidak ada harapan lagi, kecewa dan tertekan.



Khamis, 11 Ogos 2011

500 Tahun Beribadat Tetapi Masuk Neraka

بسم الله الرحمن الرحيم

Apa yang terlintas di fikiran sahabat semua saat membaca tajuk entri kali ini? Takut tak apabila amal ibadat kita selama hayat di dunia ini neraka pengakhirannya? Saat terbaca tajuk risalah yang saya temui ini, terdetik di kotak fikiran apa penyebab amal ibadat selama 500 tahun orang ini neraka pengakhirannya. Nak tahu kenapa? Jom, baca kisah di bawah ini

Rasulullah S.A.W berkata: Malaikat Jibril telah menceritakan kepadanya, “Wahai Muhammad! Telah ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang panjang dan lebar bukit itu 30x30 hasta dan di sekelilingnya terdapat lautan saujana mata memandang. Di situ Allah telah mengeluarkan air selebar satu jari dari bawah bukit serta menumbuhkan sepohon pokok delima yang mana setiap hari pohon itu akan mengeluarkan sebiji buah yang masak. Apabila terasa lapar, hamba ini akan memetiknya selepas itu dia terus menyambung ibadahnya.

Setiap kali solat, hamba ini akan memohon agar ia dimatikan dalam keadaan sujud supaya badannya tidak disentuh apa-apa pun sehingga tibanya hari kiamat. Allah Ta’ala pun memperkenankan doanya. Apabila hamba ini mati, Allah Ta’ala pun memerintahkan kepada malaikat, “Masukkan hamba ini ke dalam syurgaKu dengan limpah rahmatKu” jawab hamba ini, “Bukan segalanya disebabkan amalanku.” Maka Allah Ta’ala pun memerintahkan para malaikat menghitung segala amalannya. Apabila perhitungan dibuat maka amalnya selama 500 tahun itu telah habis dikira hanya pada sebelah mata sahaja. Allah Ta’ala pun berfirman, “Masukkan dia ke dalam neraka.” Maka gementarlah hamba ini lalu berkata, “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurgaMu dengan rahmatMu.”

Kemudian Allah Ta’ala bertanya lagi, “Siapakah yang menjadikan kamu yang memberi kekuatan sehingga kamu mampu beribadat selama 500 tahun? Siapakah yang mengeluarkan air di tengah-tengah lautan yang masin dan mengeluarkan buah delima untuk kamu makan setiap hari sedangkan buah itu berbuah setahun sekali? Jawab hamba ini, “Engkaulah yang melakukannya ya Allah.” Firman Allah Ta’ala lagi, “Semua adalah dengan rahmatKu dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurgaKu juga dengan rahmatKu.” Malaikat Jibril berkata,” Segala yang terjadi hanya dengan rahmat Allah. Wallahu’alam.



Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu dan mentaatiMu…ameen.


Selasa, 2 Ogos 2011

Puasa Qadha' + Puasa 6 = Boleh ke X ???

بسم الله الرحمن الرحيم

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dengan tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya. Ini kerap terjadi apabila, dilihat budaya berlumba menamatkan puasa enam dengan menghebahkan kepada rakan-rakan tentang bilangan hari puasanya kerap terjadi. Kita bimbang, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya.

 Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan. Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawal dan puasa qadha? Jawapannya adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih:
 “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asasnya, tetapi dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawal yang singkat berbanding Qadha (sepanjag tahun). Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT. Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW:
 “ … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat AL-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

 Isu Gabung Sunat & Qadha

Adapun, isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan saya seperti berikut :

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang membolehkan penggabungan dipersoalkan, iaitu :

 • Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

 • Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

 • Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut:

Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

 • Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya. Bagaimanapun , ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat sepenunya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

• Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW:

 “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)”(Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawal.

 • Hujjah ulama yang mengharuskan adalah berdasarkan hadith:
 “ Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103). Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan pandangan saya yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawal); bagaimanapun, pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan adalah beberapa ulama mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.



karangan ustaz zaharuddin.(diterbitkan oleh METRO AHAD 28 Okt 06) 




Daisypath Friendship tickers
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Foto Saya
Lukluk Sofea
Johor, Malaysia
Salam Ukhwah ^_^ Semoga perkongsian ini bermanfaat... =)
Lihat profil lengkap saya